Friday, June 4, 2010

Tabuk dahulu dan 'Tabuk' sekarang


Alhamdulillah,.segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Setinggi kesyukuran dipanjatkan hanya kepadaNya. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda dan isteri-isteri baginda.

Bila kaki mula melangkah, hati masih lagi goyah. Jasad dan roh masih lagi bersatu namun hakikatnya roh terbang melayang melupakan tugas dan peranan sebagai seorang hamba. Sibuk nak mengejar keseronokkan dunia yang hanya sementara.

Saya mengelamun lagi. Teringat peristiwa yang berlaku sekitar perang Tabuk. Ketika kaum muslimin mendengar suara seruan Rasulullah mengajak kepada peperangan melawan Rom maka serta merta mereka berlumba-lumba mematuhi perintah Baginda itu. Mereka segera bangun mempersiapkan diri dan tentera Islam secepat mungkin, seluruh qabilah dan kelompok-kelompok Arab berduyun-duyun turut ke Madinah dari segenap pelusuk dan penjuru, tak seorang pun merelakan ianya tersisih dan tertinggal kecuali golongan yang sakit di dalam hatinya malah hinggakan golongan fakir dan miskin pun datang mengadap Rasulullah meminta supaya mereka pun dapat turut serta untuk melawan Rom, tetapi Rasulullah menjawab: "Aku tidak ada sesuatu yang boleh membawa kamu semua". Maka mereka beredar dari situ dengan muka berlinangan air mata, berdukacita kerana tidak dapat turut serta dan ketiadaan sesuatu untuk membiayai peperangan".
"Tidak ada padaku kenderaan yang hendak ku berikan untuk membawa kamu, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan untuk pergi berjihad pada jalan Allah ".
(al-Taubah: 92)

Mata mereka bercucuran air mata kerana sedih yang sangat mendalam. Itulah perasaan mereka. Hancur luluh, sedih, merana. Bagai terhiris sembilu hati mereka apabila pasukan muslimin berangkat dengan suara unta mengorak penuh gembira menuju Tabuk. Sedih sebagai orang yang tak mampu, sebagai orang yang tidak berguna, sedih sebagai orang yang rela duduk, sedih sebagai orang yang bodoh melepaskan kesempatan mulia.

Begitulah perasaan sahabat nabi yang mulia. Mereka menangis, bercucuran air mata. Tapi tangisan dan cucuran air mata itu bukanlah kerana mereka melakukan dosa dan bertaubat malah mereka sebenarnya tidak melakukan kesalahan. Mereka bersedih kerana tidak dapat melakukan ketaatan. Tidak mampu untuk bersama Rasulullah melawan rom. Sangat berbeza dengan kita sekarang. Air mata banyak dihabiskan dengan sia-sia. Bukan sahaja tidak menangis dengan banyaknya ketaatan yang kita tinggalkan,malah masih boleh bergembira dalam berulang kali mengabaikan perintah Allah. Hati saya sayu mengenangkan betapa jauhnya kehidupan saya dengan mereka. Saya juga menangis tapi tangisan penyesalan atas dosa-dosa yang terlanjur. Hati saya bertambah hiba apabila saya tak dapat berkongsi rasa dengan sahabat-sahabat saya yang dulu pernah ke surau bersama, solat, makan dan tidur bersama, sahabat yang memaksa saya untuk menyertai usrah yang kini saya pun tak pasti samada mereka masih lagi tahu apa itu usrah.

Saya terfikir dan merenung sejenak. Apakah cukup usaha saya selama ini? Andai kata ada satu lagi siri ‘Tabuk’ pada hari ini. Mampukah saya menjadi seperti para sahabat yang menangis apabila tidak mampu menunaikan ketaatan. Menyerahkan seluruh harta dan meninggalkan Allah dan Rasul pada keluarga saya. Jika dahulu medan Tabuk mungkin hanya kekurangan satu, dua atau lima pasukan. Tapi “Tabuk” hari ini kekurangan ribuan bahkan jutaan pejuang agar mereka meninggalkan ‘zon selesa’, menyeru manusia kepada Allah dan mempertahankan agama Allah.

Jika dahulu di dalam perlumbaan kaum muslimin membiayai peperangan, Uthman bin Affan telah tampil ke hadapan dengan pakej yang tersendiri, satu kafilah unta sebanyak dua ratus ekor sarat dengan muatannya, dua ratus auqiyah makanan diserahkan kepada Rasulullah sebagai sedekah, malah beliau membawa seratus ekor unta yang lain, kemudian beliau membawa seribu dinar yang dicurahnya ke dalam riba Rasulullah (s.a.w). Rasulullah (s.a.w) segera menerimanya sambil bersabda: "Uthman tidak akan binasa selepas ini, lantaran apa yang beliau lakukan itu". Selepas itu beliau memberi lagi sedekah dan bersedekah lagi, hingga sedekahnya sahaja menjadi sembilan ratus (900) ekor unta dan seratus (100) ekor kuda, selain dari wang.

Manakala Abdul Rahman bin Auf telah membawa dua ratus Auqiyah perak sementara Abu Bakr pula membawa kesemua harta miliknya tanpa meninggalkan apa-apa pun untuk keluarganya selain daripada Allah. Kesemua sekali hartanya empat ribu dirham dan beliaulah orang pertama sekali yang menyerah hartanya kepada Rasulullah, manakala Umar membawa separuh dari hartanya, al-Abbas membawa banyak sekali dari hartanya, Talhah dan Saad Ibnu Ubbadah dan Muhammad bin Maslamah, semua mereka membawa harta masing-masing. Asim bin 'Adi membawa sembilan puluh ekor unta yang sarat dengan muatan buah tamar.

Tapi kini, kita bukan lagi kehilangan jiwa-jiwa seperti Uthman, Abdul Rahman, Abu Bakr, Umar, Talhah dan lain-lain, malah kita sendiri gagal mendidik diri kita seperti mereka. Mungkin bukan KITA tapi SAYA lah yang gagal mendidik diri saya seperti mereka.

Inilah yang saya rasa apabila berada di rumah. Berada di zon selesa. Mula berfikir tentang dunia dan segala keseronokkannya. Saya sudah kembali ke dunia saya. Medan yang penuh mehnah dan tribulasi. Sendirian mempertahankan iman bukanlah satu perkara yang mudah. Apakah yang akan berlaku seterusnya?? Kepada Allah saya serahkan. Kerana islam saya akan berkorban..

Saya tidak akan pernah mengalah dengan syaitan yang hanya menjanjikan angan-angan kosong. Saya tidak akan mengalah dengan nafsu walaupun kadang-kadang ia mula menguasai. Saya tidak akan pernah berhenti berharap. Kerana saya yakin pada pertolongan Allah. Sekadar ingin berkongsi rasa. Moga-moga ada kebaikan untuk kita bersama.

Seorang penulis pernah menyeru;

“carilah kebaikan, milikilah kebaikan dan warisilah kebaikan. Kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Najis boleh bertukar menjadi baja. Penawar bisa ular datang daripada racunnya”

Akhirnya..

Hidup ini adalah satu ujian. Dimana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian adalah guru manakala alam sekeliling ialah sekolah, medan menuntut ilmu. Kita sedang menghadapi ‘peperiksaan’ besar dimana pengetuanya ialah Allah. Kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian andai kata kita meletakkan Allah dihadapan. Percayalah, Allah mendidik kita setiap saat, setiap detik waktu, pada setiap peristiwa dan manusia. Allah mendidik melalui kesenangan, kesusahan, pujian mahupun cercaan. Apa yang pasti, Allah tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. Dia sentiasa ada disisi kita malah lebih dekat dari urat nadi kita. Dia tahu setiap keperluan kita, Dia mendengar segala keluhan dan rintihan hati kita malah Dia tidak pernah jemu dalam memberi ‘nasihat dan mendidik’ walaupun hakikatnya kita hanyalah seorang HAMBA

Waalhua’lam.