Thursday, February 9, 2012

Buat diriku yang mudah lupa


Renungan diri yang mudah lupa dan buat insan yang bergelar wanita. Ketahuilah betapa bertuah dan istimewanya menjadi seorang wanita.

“Ya Allah, kurniakan daku kekuatan untuk mendidik diri menjadi isteri solehah, serta ibu mithali buat anak-anakku”

Isteri solehah.

Setiap para isteri pastinya mengimpikan dirinya dinobatkan sebagai isteri solehah. Abis buku-buku dibeli sebagai persediaan merealisasikan ‘title’ tersebut. Setiap ciri isteri solehah di hadam satu persatu. Terasa diri sudah cukup kuat untuk melaksanakan semua tanggungjawab yang bakal digalas. Namun, sejauh mana teori yang dihadam dapat di praktikkan dalam kehidupan sehari-hari sebagai seorang isteri. Saya sendiri mengakuinya. Memang susah untuk merealitikan erti hidup pada memberi. Saban hari hanya hak yang dituntut. Disaat itu, barulah terasa betapa kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan sahabiah-sahabiah terdahulu. Fatimah, puteri kesayangan rasulullah contohnya;

Kehidupan Fatimah bersama Ali tidak dihiasi dengan kemewahan, sama seperti kehidupannya bersama Rasulullah s.a.w. Dari segi keselesaan material, kehidupannya serba kekurangan dan kesempitan. Sepanjang hidup mereka sebagai suami isteri, Ali tetap miskin kerana beliau tidak berusaha mengumpul harta kekayaan. Bahkan, boleh dikatakan bahawa kehidupan Fatimah bersama Ali lebih sukar berbanding kehidupannya bersama Rasulullah s.a.w. Sekurang-kurangnya, di rumah Rasulullah sentiasa ada orang-orang yang sedia membantunya menjalankan tugas-tugas harian. Namun kini beliau harus menguruskan tanggungjawabnya sendirian. Sebagai sumber pendapatan, Ali bekerja sebagai pengangkut air manakala Fatimah pula mengisar gandum. Pernah suatu ketika Fatimah berkata kepada Ali : ‘Aku telah mengisar gandum sehingga tanganku luka-luka.’ ‘Aku telah mengangkut air sehingga dadaku sakit,’ kata Ali lalu mencadangkan kepada Fatimah : ‘Allah telah memberkati bapamu dengan beberapa orang tawanan perang, pergilah kau kepadanya dan mintalah agar dia memberikan seorang pembantu kepadamu.’

Dengan hati yang berat, Fatimah telah menemui Rasulullah dan berkata kepadanya : ‘Apa yang telah menyebabkan kau datang kemari, wahai anakku?’ ‘Aku datang dengan doa kesejahteraan buatmu,’ kata Fatimah, yang menjadi kelu sebaik berhadapan dengan Rasulullah s.a.w.
‘Apa yang telah engkau lakukan?’ Tanya Ali sebaik sahaja Fatimah pulang dari rumah bapanya.
‘Aku terlalu malu untuk meminta kepadanya,’ jawab Fatimah. Maka kedua mereka pun pergi menemui Rasulullah untuk menyampaikan permintaan itu. Namun Rasulullah merasakan lebih ramai lagi orang lain yang lebih memerlukan dari mereka.
‘Aku tidak akan memberikannya kepada kamu,’ kata baginda, ‘dan membiarkan ahl as-Suffah (golongan miskin yang tinggal di masjid) dalam kelaparan. Aku tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk menyara mereka….’

Ali dan Fatimah pulang ke rumah dengan perasaan hampa. Namun begitu, pada malam tersebut ketika mereka sedang tidur, mereka mendengar suara Rasulullah s.a.w. meminta izin untuk masuk ke rumah mereka. Mereka bingkas bangun untuk menyambut baginda namun Rasulullah berkata :

‘Duduk saja di situ,’ lalu baginda duduk bersama mereka. ‘Mahukah kamu sekiranya aku mengajar kamu sesuatu yang lebih baik dari apa yang kau minta dariku?’ Tanya baginda yang dijawab ya lalu baginda berkata lagi, ‘Jibrail telah mengajarku, hendaklah kamu berkata “Subhaan Allah – Maha suci Allah” sepuluh kali selepas setiap solat, dan “al-Hamdu Lillah – segala puji bagi Allah” sepuluh kali dan “Allahu Akbar – Allah Maha Besar” sepuluh kali. Dan apabila kamu hendak tidur, bacakan setiap satu itu tiga puluh tiga kali.

Betapa hebat dan berkesannya tarbiyah dari Rasulullah. Nasihatnya terus terpahat dihati Fatimah tanpa rungutan apatah lagi bantahan. Bila teringat-ingat cerita Fatimah, diri yang kerdil ini terasa malu sendiri. Sering bersungut dengan urusan rumah tangga. Mengeluh, malah kadang-kadang marah sendiri dengan hal-hal yang sangat remeh. Betapa lemahnya praktikal, tidak sehebat teori yang dikumpul selama ini.

Kini, saya bakal menjadi ibu. Tanggungjawab itu semestinya bertambah besar. Saya sangat bersyukur pada Allah atas kurniaan zuriat yang satu ini. Saya berazam untuk menjadi ibu yang mithali. Saya akan berusaha mendidik diri kearah yang lebih baik sebagai isteri dan ibu akan datang. Semoga Allah merahmati kehidupan saya sekeluarga. Mudah-mudahan, kami sentiasa bercinta dibawah nauangan cintaNya.insyaAllah.


Salam maulidur rasul dari saya,suami dan a little caliph inside. ;)