Sunday, April 26, 2009

MALU..



Indahnya MALU…

“iman mempunyai lebih 60 cabang dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman” Hadith riwayat: Abu Hurairah RA

Manusia di bekalkan dengan pelbagai keistimewaan. Lantaran itu, mereka menjadi makhluk terbaik ciptaan. Fitrahnya, mereka di seliputi sifat malu, sedih, gembira, marah, benci dan sebagainya. Malu atau haya’ dalam bahasa arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia mencukupi sifat malu, memelihara keaiban diri dan orang lain, kesopanan, harga diri, jujur, menjaga dan memelihara maruah kerana Allah SWT.

“Apabila seseorang menyertaan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang di lakukannya, ia akan menjadi keburukan dan apabila malu di sertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah”
Hadith riwayat : Anas bin Malik

Malu adalah sifat semulajadi yang Allah anugerahkan kepada manusia. Seseorang yang pemalu, pendiam, dan penakut lebih suka mengasingkan diri. Sifat malu yang berpada-pada amat di tuntut oleh islam sebagaimana sabda Rasullullah SAW:

“Malu adalah sebahagian daripada iman”

Perasaan malu yang keterlaluan dan tidak terkawal mampu mengundang kemudaratan. Malah, boleh menjadi penyakit yang memerlukan rawatan khusus. Maka, Berpada-padalah dengan sifat ini.

MALU SIFAT ORANG ISLAM


Malu adalah sifat orang yang beriman. Hal ini kerana malu dan iman berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan,maka akan hilanglah keduanya
. Malah sifat malu juga membawa kita kesyurga sepertimana sabda Rasulullah SAW:

“ malu datangnya dari keimanan dan iman membawa ke syurga dan jika sebaliknya membawa ke neraka” (HR Bukhari)

SIFAT MALU PADA WANITA

seindah hiasan adalah wanita solehah

Dalam menyusuri dunia yang serba moden kini, kebanyakkan wanita ingin menunjukkan kehebatan diri masing-masing tanpa menghiraukan sifat semulajadi yang terdidik dalam diri. Kemodenan hari ini banyak merubah wanita islam dari segi berpakaian. Berpakaian mahu ikut tren terkini, bukan lagi mengikut syariat yang telah di tetapkan Tuhan ke atasnya. Mereka lebih suka memakai seluar ketat, mendedahkan bahagian perut dan pusat, berpakaian yang boleh menimbulkan ghairah bagi mata-mata yang melihatnya dan memakai tudung sekadar melepas batuk di tangga. Mereka telah hilang perasaan malu. Suasana begini telah menjadi perkara biasa di Negara ini malah di mana juga. Benarlah kata-kata Rasulullah suatu ketika dahulu..

“islam datang dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang.”

Muslimah yang patuh pada perintah Allah sudah kembali minority. Mereka ini tidak akan menggadaikan maruah diri semata-mata ingin kelihatan moden dan mengikut perkembangan semasa. Mereka hanya melihat pandangan Allah lebih dari pandangan manusia. Merekalah yang disebutkan rasulullah sebagai perhiasan dunia yang paling indah.

MALU PAKAIAN MUKMIN

Apabila sifat malu telah hilang, kemungkaran dan kemaksiatan berleluasa tanpa batasan,malah manusia akan tunduk mengikut tuntutan hawa nafsu. Mereka tidak berasa takut dan bimbang dengan pembalasan akhirat. Ini kerana hati dan jiwa mereka telah buta dan rosak, tiada lagi rasa belas kasihan dan kasih sayang pada DIRI SENDIRI!!
Sifat malu adalah sifat yang terpuji yang boleh menghindarkan diri daripada melakukan kejahatan dan mendorong jiwa kepada kebaikkan. Sifat malu dapat bertukar menjadi sifat yang tercela apabila meletakkan malu bukan pada tempatnya, seperti malu untuk melakukan kebaikan dan malu untuk melakukan amal ibadah. Antaranya, malu untuk bersembahyang tetapi tidak malu untuk meninggalkannya, malu untuk bersedekah, malu menutup aurat sebaliknya tidak malu mendedahkannya. Begitu juga, dalam suatu perkara yang tidak kita ketahui tetapi rela berterusan berada di dalam kejahilan. Sifat malu seumpama inilah yang di cela dan tidak di tuntut oleh syarak.

Oleh itu, tanamkanlah dalam hati sifat malu yang sebenar sebagaimana yang di tuntut dan di ajar al-Quran dan as-Sunnah.
Mungkin menaip lebih mudah daripada melaksanakan. Marilah bersama kita latih diri kita untuk menghiasi diri dengan sifat malu. Tapi jangan sampai malu untuk menegakkan kebenaran di depan mata!! Berpada-padalah dalam malumu….

No comments: