Friday, January 29, 2010

Muhasabah Cinta..


C.I.N.T.A.

Menurut Hamka,. Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit,bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus,tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur,di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.

Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.

Auranya sangat luar biasa. Yang sedih boleh ceria, yang lemah seakan gagah.

Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat.

Cinta sesama makhluk adalah anugerah yang telah Allah kurniakan. Cuma, bagaimana untuk kita mengatur cinta yang dikatakan anugerah supaya tidak tertukar dari fitrah kepada fitnah. Kesucian cinta tidak akan hadir bersama debu-debu dosa yang ditaburkan.

Memang payah untuk mendidik hati supaya akur dengan ketentuan. Perlukan mujahadah yang maha hebat. Kerana syurga yang di janjikan adalah manis. Dan orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Ia akan sanggup mengharungi lautan cintaNya walaupun pelbagai halangan yang datang menghalang.

Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredhaan Ilahi. Seindah manapun sesuatu itu dalam pandangan manusia, selagi ia tidak diredhai-Nya, maka ia langsung tidak berguna.

Pada hari ini, akan ku tempuhi satu penghidupan baru yang akan meninggalkan kehidupan lama yang penuh dengan ranjau duri, kesengsaraan, penderitaan, serpihan kehancuran dan tapak-tapak kegagalan. Kegagalan telah menjadi hak mutlak dalam perjalanan hidup. Keperitan adalah sebahagian nafasku. Kehancuran adalah urat saraf tubuhku. Tangisan air mata sudah tidak lagi bermakna walaupun untuk mempertahankan hak.

Namun, pada hari ini juga, aku telah menemui apa yang di cari untuk sekian lamanya dalam meniti erti hidup. Aku bukan di lahirkan kedunia untuk menjadi insan yang mudah di tundukkan. Aku juga tidak mahu menjadi seperti lembu yang setiap masa di cucuk hidung oleh penggembalanya kerana kehidupan seperti ini bukanlah matlamat hidup yang sebenarnya.

Apakah aku akan menemukan cinta ? sedangkan ujian belum aku tempuh. Apa yang aku simpan untuk diriku akan lenyap, dan apa yang aku berikan kepada yang lain akan aku miliki selamanya.

Ya Allah….. dimana lagikah dapat kutemui Cinta Sejati kecuali pada cinta-Mu, kemana lagikah hati ini harus berlabuh kecuali pada kasih-Mu, jadikanlah hati yang lemah ini hanya tertambat kukuh hanya pada-Mu.

Didalam seribu mimpiku yang bertabur sepi yang mengantar kepada-Mu, aku hanya ingin ampunan dan terangilah jalanku.

Meski didunia ini tiada yang sempurna, aku hanya memohon dalam taubatku untuk diterangi jalanku.

Ku persembahkan semuanya hanya kepada-Mu, dalam jalanku yang rapuh membuka mata hati mungkin aku telah lupa dalam lelah dan resah kuteteskan air mata kubersujud kepada-Mu.

Kuserahkan semua cintaku yang tak setia dan tak sempurna ini hanya kepada-Mu. Aku hanya mohon redho atas segenap keputusan-Mu, kesejukan setelah matiku, kenikmatan untuk memandang cinta dan kerinduan terhadap cinta.

Ampunilah diri yang tak berharga ini ya Allah….. penuhilah kehinaannya dengan keindahan magfirahmu, semua canda tangis dan tawa terlukis dalam hidupku, sebuah usaha akan aku lakukan untuk belajar mengarifi hidup dari jatuh bangunnya diri meraih segenggam cinta…. Yang memberi kekayaan bathin kepadaku, betapa penuh warna perjalanan hidup ini karena cinta yang ada pada diriku adalah fitrah-Mu.

Dan ku mohon..

Jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.

Jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar aku tidak terjatuh dalam jurang cinta nafsu,.

Jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu..

Ya Rabbul Izzati,..

Jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu.

Dan jika aku menikmati cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu..

ku mohon padaMu ya Allah.. peliharalah rindu dan cintaku padanya, agar ia terus bercambah di dalam kanvas hatiku.. dan hanya Engkau yang layak untuk memeliharanya.. kuserahkannya di bawah jagaMu yang Maha Memelihara..
Amin ya Rabbal A’lamin..

Monday, January 11, 2010

Fi zilal tarbiyyah..

Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.

Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!

Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.

Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…
Uhibbukum fillah....

coretan seorang akhawat setelah 6 tahun di luar negara dipetik dari muntalaq.wordpress

Sunday, January 10, 2010

Awasi makanan kita..


Berdasarkan teori pemakanan, makanan yang berkhasiat hendaklah mengandungi karbohidrat, protein, lemak, mineral dan vitamin yang masing-masing terkandung dalam ikan, nasi, susu, sayuran dan buah-buahan. Secara praktikalnya, kita akan mencari makanan yang segar, menarik, menyelerakan dan kena pada tekak. Tak kira lah makanan itu, mahal ataupun murah. Nampak macam best kita pun telan tanpa memikirkan khasiat yang terkandung di dalamnya. Makanan yang segar dan menarik tidak semestinya berkhasiat kepada tubuh badan kita. Lebih-lebih lagi kebanyakkan makanan kita hari ini sangat terdedah kepada toksin yang boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Kenapa dan mengapa??

Jika kita perhatikan, kesemua sumber makanan kita adalah berasaskan daripada kegiatan pertanian dan perikanan. Lihat kepada bidang pertanian. Dalam usaha menampung keperluan makanan penduduk yang semakin bertambah, ahli pertanian (ada kan??) terpaksa menggunakan kaedah saintifik demi meningkatkan produktivitinya. Dalam usaha meningkatkan produktiviti ini, tentulah kita tidak boleh lari daripada menggunakan bahan kimia yang sekiranya berlebihan, tentunya mendatangkan mudarat kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Di samping itu, untuk mendapatkan sayuran yang segar misalnya, ahli pertanian menggunakan racun serangga untuk mengawal kehadiran serangga yang merosakkan tanaman. Racun makhluk perosak ini boleh mengakibatkan keracunan makanan sekiranya sayur-sayuran tidak di cuci bersih sebelum di masak. Kesan keracunan boleh terlihat selepas beberapa jam hingga beberapa hari pendedahan. Malangnya, tidak semua kes keracunan yang di sebabkan racun serangga ada penawarnya (antidote).

Lihat pula kepada bidang perikanan. Ikan yang secara teorinya memberikan sumber protein yang baik telah tercemar akibat kesan buangan sisa toksik kilang kedalam laut. Kerang dan sumber kekerang yang lain turut tercemar dengan bahan toksik merbahaya yang jika di ambil secara berlebihan boleh mengakibatkan kanser hati. Pendek kata, sumber makanan kita samada darat atau laut tidak terlepas daripada toksin. Kesan toksin ini adalah jangka panjang apabila elemen toksin ini terkumpul dalam amaun yang berlebihan dalam badan manusia.
Jadinya, tugas kita adalah memastikan makanan yang kita ambil adalah bebas toksin dan sentiasa mengekalkan kesihatan. Soalnya macamana nak pastikan tu??

Pertama sekali, kenalilah agen perosak makanan. Antara factor yang menyebabkan keracunan makanan ialah mikroorganisma (bacteria, virus, parasit), agen toksik dan juga racun makhluk perosak. Post kali ni, ana nak kenalkan kepada antunna beberapa bacteria yang boleh menyebabkan kecunanan makanan. Ana amik bacteria yang glamour je la ya..

Bagi yang mengemari makanan dalam tin, pastikan sebelum membeli baca label pada tin tersebut. Pilih tin yang tidak kemek (sempurna sifat luarannya). Kenapa?? Sebab makanan dalam tin sering terdedah kepada bacteria Clostridium botulinum. Ia adalah bacteria jahat yang hidup di persekitaran yang kurang atau tiada oksigen di dalam tin. Makanan yang dimasak dengan tidak sempurna sebelum di tinkan boleh menyebabkan bacteria ini membiak dan mencemarkan makanan.

Bacteria ini akan membebaskan neurotoksin botulin iaitu sejenis toksin yang menghalang penghantaran isyarat kimia dalam system saraf autonomic manusia. Kesannya, seseorang itu boleh mengalami masalah penglihatan, sukar menelan makanan, sukar becakap dan bernafas. Gejala ini di panggil “botulisme”. kehadiran clostridium boleh di kenal pasti apabila bau dan rasa makanan bertukar menjadi pelik ataupun tin kelihatan mengembung.

Penggemar susu dan hasil tenusu pula hendaklah berjaga-jaga dengan kehadiran Staphylococcus aureus, salmonella, C. jejuni, L. monocytogenes dan shigella. Bacteria ini akan mengeluarkan enterotoksin, iiaitu sejenis toksin yang tahan haba dan tidak mudah larut air. Toksin ini boleh mengubah kebolehtelapan air pada ruang lumen dalam tempoh satu hingga lima jam selepas memmakan makanan tercemar.

Ana rasa cukup takat tu je dulu,. Ada peluang ana akan kongsikan lagi ilmu yang tidak seberapa ini. Setelah hampir 4 tahun belajar pasal makanan,. Ana dapat rasakan yang ana begitu cerewet dalam hal-hal pengendalian dan pemilihan makanan. Tapi masih boleh bantai je makanan yang ada kat depan mata..hehe.. Waallahua’alam.

Saturday, January 9, 2010

Bawalah ia bersamamu..

“Kala hati dirundung sedih, di kala air mata sentiasa menemani, saat sahabat tiada disisi… Bawalah ia terbang mencari TuhanMu.. Kenalkan hatimu dengan penciptaNya. Nescaya segala yang terbungkam dapat di leraikan. Segala yang terpendam dapat di luahkan.. Dengan hanya kembali kepada Dia yang Satu”..

Masa yang berlalu tidak terasa. Seakan-akan baru semalam balik dari bercuti. Hakikatnya, sudah hampir tiga minggu berada di bumi UMS ini. Masih lagi tercari-cari cahaya yang hilang,. Mencari kata-kata yang sering menguatkan.. Mungkinkah ada salah yang di lakukan sehingga tidak dapat memaafkan?. Adakah ia hadir dari hati yang tulus menyayangi kerana Allah?? Akan Ku kembalikan semuanya kepada Allah,. Moga-moga kita akan bertemu lagi di bawah satu lembayung yang sama..

Dengan namaMu Ya Allah..kumulakan bingkisan kali ini.. insyaAllah,. Moga-moga ada kebaikan untuk kita bersama.

Mencari kebahagiaan..

Mungkin ada di antara kita yang mencari kebahagian dengan bersuka ria bersama teman-teman. Mungkin ada yang mencari kebahagiaan dengan menyendiri di lautan sepi. Mungkin juga ada yang mencari kebahagiaan dengan menyanyi-nyanyi tak ingat dunia. Terpulang kepada iman masing-masing.


Orang yang beriman akan mencari kebahagiaan dalam dirinya sendiri. Mereka memiliki pandangan dan kayu ukur kebahagiaan yang berbeza dari kebanyakkan manusia. Bahagia itu adalah kosa kata rohani,. Perkara yang abstrak,. Tidak dapat di lihat tapi boleh dirasa. Dengan itu, bahagia tidak dapat di cari dan di himpun dengan banyaknya harta,. Dengan penatnya menyanyi. Bahagia tidak dapat di rasai dengan hanya bersuka ria. Ianya hanya boleh di capai dengan cara yang rohani juga. Jalan yang tidak dapat di lihat juga,. Namun, ketika melalui jalan itu.. ada ketenangan bersamanya.. itulah hakikat kebahagiaan. Biarlah kita miskin harta tetapi kita kaya dengan kebahagiaan. Kerana harta sekali-kali tidak akan pernah memuaskan nafsu manusia, berapapun banyaknya ia.

Ibnu Munkadir berkata,. “diantara seberapa banyak kelazatan dunia itu tidak akan kekal dan tetap melainkan 3 perkara iaitu:

1. Ketenangan sewaktu bangun solat malam
2. Kebahagiaan sewaktu bertemu sahabat-sahabat seperjuangan
3. Kekhusyukan sewaktu solat berjemaah

Abu sulaiman pula berkata, “ahli bangun malam itu di waktu malamnya dalam merasai kebahagiaan daripada ahli suka ria dengan segala macam kesukariaannya”

Oleh itu..Marilah kita membawa hati kepada Tuhan. Kerana di sana letaknya puncak kebahagiaan. Hilangkan resah di dadamu dengan solat. Tunjangkan kepasrahanmu kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Dia tidak akan pernah melupakan kita.. InsyaAllah..




Doa kita;

“Ya Allah, terangilah hati kami dengan cahaya petunjukMu sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahariMu selama-lamanya dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih”