Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Pencipta langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Setinggi-tinggi kesyukuran ana panjatkan ke hadrat Illahi kerana telah memberi ana ruang dan peluang untuk menyertai satu program cuti-cuti yang di khaskan untuk remaja iaitu Rise Up Young Muslim bersama Dr Danial Zainal Abidin. Walaupun program ini untuk para remaja namun, ilmu Allah itu sesuai untuk semua peringkat umur insyaAllah. (maksudnya kami ni muda remaja lagi la kan? (^_~) ). insyaAllah dengan kesempatan yang ada, izinkan ana berkongsi serba sedikit ilmu yang ana perolehi hari ini.
FORMULA INDIVIDU CEMERLANG
Formula untuk menjadi individu yang cemerlang seperti yang di perkenalkan oleh Dr Danial ialah individu yang cemerlang dengan 7A
1. A= Autentik (soheh)
2. A= Akidah
3. A= Amal Soleh
4. A= Awlawiyat
5. A= Akhlak
6. A= Amanah
7. A= Asah
Rumusan penerangan cemerlang 7A adalah seperti dibawah;
Riwayat daripada Abu Hasan Al Mawardi menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang inginkan kebahagian di dunia, maka hendaklah ia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kebahagiaan di akhirat, maka hendaklah ia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya sekali, maka hendaklah ia berilmu”
Ilmu merupakan pintu gerbang kepada segala kebaikan. Diawal suruhan juga kita umat islam telah diseru untuk IQRA’ iaitu membaca kerana membaca merupakan sumber ilmu. Dengan ilmu lahirlah iman dan barulah datangnya semangat untuk beramal. Sumber motivasi kita tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran.
Oleh itu, cemerlang yang dikatakan oleh Dr ialah dengan menguasai dua ayat. Dimana ayat yang pertama ialah ayat-ayat Al-Quran dan kedua ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta.
AYAT dalam bahasa arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr; A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Al-Quran dan kedua ia bermaksud “sign” atau bukti dan tanda.
Penguasaan ayat-ayat Al-Quran adalah sangat penting untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Melalui Al-Quran manusia mengenali tujuan dan matlamat dilahirkan ke dunia. Dimana matlamat kita yang utama ialah untuk beribadah dan menjadi khalifah Allah. Seperti yang di jelaskan melalui firmanNya yang bermaksud:
“Aku tidak menciptakan jin manusia melainkan agar mereka berIBADAH kepadaKu” (51:56)
Dan..
“…Aku hendak menjadikan KHALIFAH dibumi… (2:30)
Walau sebesar pangkat kita didunia ini, ingatlah kita masih lagi HAMBA yang ditugaskan untuk beribadah dengan jawatan KHALIFAH.
MENGUASAI AYAT-AYAT AL-QURAN
Menguasai al-Quran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia MAMPU MEMBACA AL-QURAN dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman;
“bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al-kitab (al-Quran).. (Al-Ankabut:45)
Kemampuan membaca al-Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk MEMAHAMInya secara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 82 yang bermaksud;
“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak didalamnya”
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata;
“Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarahkan mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”
Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan PENGHAYATAN yang mantap. Hal ini Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud,
“dan mereka yang telah Kami berikan kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenrnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barangsiapa yang ingkar, mereka itulah orang-orang yang rugi”
Hanya selepas al-Quran di fahami dan di hayati sahaja umat islam akan meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan. Inilah janji Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9;
“sesungguhnya Al-Quran itu memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal shalih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar”
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran ialah petunjuk yang akan membawa manusia kepada sesuatu yang aqwam. Dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qurtubi berkata,
“kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat”
justeru mereka yang membaca, memahami, menghayati serta menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan kecemerlangan sedang menanti mereka kerana kehidupan mereka disuluhi oleh formula yang paling benar, paling adil dan paling tepat
.
MENGUASAI AYAT-AYAT ALAM
Maksud AYAT yang kedua ialah dengan menguasai ayat-ayat alam yang terbentang luas.
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar.” (Fussilat : 53)
Berdasarkan ayat ini, Allah menyeru kepada kita untuk mempelajari dan mengambil iktibar dengan setiap kejadian yang telah diciptakan. Sesungguhnya, tidak ada yang sia-sia dalam setiap ciptaan Allah.
Perhatikan sahaja bumi dan segala hamparannya. Di dalam al-Quran, Allah menyeru;
“24. Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. 25. Sesungguhnya kami benar-benar Telah mencurahkan air (dari langit), 26. Kemudian kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, 27. Lalu kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, 28. Anggur dan sayur-sayuran, 29. Zaitun dan kurma, 30. Kebun-kebun (yang) lebat, 31. Dan buah-buahan serta rumput-rumputan, 32. Untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.” (80:24-32)
Sudahkah kita memerhatikannya?? Dengan itu, Ilmu yang diperolehi daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah sekaligus meningkatkan pengabdian kepadaNya.
AYUH MENJADI GOLONGAN ULUL ALBAB
Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir. Dalam surah ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.
Untuk akhirnya,..
Begitulah serba sedikit pengisian yang boleh ana kongsikan. Sedikit peringatan untuk kita bersama;
Rasulullah SAW telah bersabda, sampaikanlah dariku walaupun satu ayat. Dan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-5, Ustaz Mustafa Masyhur juga ada menyebut, perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain. Oleh itu, ana menyeru sahabat2 sekalian, marilah kita muhasabah dan koreksi diri,. Sekali kita cuba rapat dengan Allah, seribu kali Allah hendak rapat dengan kita,.mari bersama menjadi insane yang cemerlang acuan Al-Quran. InsyaAllah. Waalahua’lam.
Inilah Informasi Penting Tentang Poker Online
4 years ago
No comments:
Post a Comment