Monday, January 11, 2010

Fi zilal tarbiyyah..

Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.

Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!

Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.

Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…
Uhibbukum fillah....

coretan seorang akhawat setelah 6 tahun di luar negara dipetik dari muntalaq.wordpress

Sunday, January 10, 2010

Awasi makanan kita..


Berdasarkan teori pemakanan, makanan yang berkhasiat hendaklah mengandungi karbohidrat, protein, lemak, mineral dan vitamin yang masing-masing terkandung dalam ikan, nasi, susu, sayuran dan buah-buahan. Secara praktikalnya, kita akan mencari makanan yang segar, menarik, menyelerakan dan kena pada tekak. Tak kira lah makanan itu, mahal ataupun murah. Nampak macam best kita pun telan tanpa memikirkan khasiat yang terkandung di dalamnya. Makanan yang segar dan menarik tidak semestinya berkhasiat kepada tubuh badan kita. Lebih-lebih lagi kebanyakkan makanan kita hari ini sangat terdedah kepada toksin yang boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada kesihatan.

Kenapa dan mengapa??

Jika kita perhatikan, kesemua sumber makanan kita adalah berasaskan daripada kegiatan pertanian dan perikanan. Lihat kepada bidang pertanian. Dalam usaha menampung keperluan makanan penduduk yang semakin bertambah, ahli pertanian (ada kan??) terpaksa menggunakan kaedah saintifik demi meningkatkan produktivitinya. Dalam usaha meningkatkan produktiviti ini, tentulah kita tidak boleh lari daripada menggunakan bahan kimia yang sekiranya berlebihan, tentunya mendatangkan mudarat kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Di samping itu, untuk mendapatkan sayuran yang segar misalnya, ahli pertanian menggunakan racun serangga untuk mengawal kehadiran serangga yang merosakkan tanaman. Racun makhluk perosak ini boleh mengakibatkan keracunan makanan sekiranya sayur-sayuran tidak di cuci bersih sebelum di masak. Kesan keracunan boleh terlihat selepas beberapa jam hingga beberapa hari pendedahan. Malangnya, tidak semua kes keracunan yang di sebabkan racun serangga ada penawarnya (antidote).

Lihat pula kepada bidang perikanan. Ikan yang secara teorinya memberikan sumber protein yang baik telah tercemar akibat kesan buangan sisa toksik kilang kedalam laut. Kerang dan sumber kekerang yang lain turut tercemar dengan bahan toksik merbahaya yang jika di ambil secara berlebihan boleh mengakibatkan kanser hati. Pendek kata, sumber makanan kita samada darat atau laut tidak terlepas daripada toksin. Kesan toksin ini adalah jangka panjang apabila elemen toksin ini terkumpul dalam amaun yang berlebihan dalam badan manusia.
Jadinya, tugas kita adalah memastikan makanan yang kita ambil adalah bebas toksin dan sentiasa mengekalkan kesihatan. Soalnya macamana nak pastikan tu??

Pertama sekali, kenalilah agen perosak makanan. Antara factor yang menyebabkan keracunan makanan ialah mikroorganisma (bacteria, virus, parasit), agen toksik dan juga racun makhluk perosak. Post kali ni, ana nak kenalkan kepada antunna beberapa bacteria yang boleh menyebabkan kecunanan makanan. Ana amik bacteria yang glamour je la ya..

Bagi yang mengemari makanan dalam tin, pastikan sebelum membeli baca label pada tin tersebut. Pilih tin yang tidak kemek (sempurna sifat luarannya). Kenapa?? Sebab makanan dalam tin sering terdedah kepada bacteria Clostridium botulinum. Ia adalah bacteria jahat yang hidup di persekitaran yang kurang atau tiada oksigen di dalam tin. Makanan yang dimasak dengan tidak sempurna sebelum di tinkan boleh menyebabkan bacteria ini membiak dan mencemarkan makanan.

Bacteria ini akan membebaskan neurotoksin botulin iaitu sejenis toksin yang menghalang penghantaran isyarat kimia dalam system saraf autonomic manusia. Kesannya, seseorang itu boleh mengalami masalah penglihatan, sukar menelan makanan, sukar becakap dan bernafas. Gejala ini di panggil “botulisme”. kehadiran clostridium boleh di kenal pasti apabila bau dan rasa makanan bertukar menjadi pelik ataupun tin kelihatan mengembung.

Penggemar susu dan hasil tenusu pula hendaklah berjaga-jaga dengan kehadiran Staphylococcus aureus, salmonella, C. jejuni, L. monocytogenes dan shigella. Bacteria ini akan mengeluarkan enterotoksin, iiaitu sejenis toksin yang tahan haba dan tidak mudah larut air. Toksin ini boleh mengubah kebolehtelapan air pada ruang lumen dalam tempoh satu hingga lima jam selepas memmakan makanan tercemar.

Ana rasa cukup takat tu je dulu,. Ada peluang ana akan kongsikan lagi ilmu yang tidak seberapa ini. Setelah hampir 4 tahun belajar pasal makanan,. Ana dapat rasakan yang ana begitu cerewet dalam hal-hal pengendalian dan pemilihan makanan. Tapi masih boleh bantai je makanan yang ada kat depan mata..hehe.. Waallahua’alam.

Saturday, January 9, 2010

Bawalah ia bersamamu..

“Kala hati dirundung sedih, di kala air mata sentiasa menemani, saat sahabat tiada disisi… Bawalah ia terbang mencari TuhanMu.. Kenalkan hatimu dengan penciptaNya. Nescaya segala yang terbungkam dapat di leraikan. Segala yang terpendam dapat di luahkan.. Dengan hanya kembali kepada Dia yang Satu”..

Masa yang berlalu tidak terasa. Seakan-akan baru semalam balik dari bercuti. Hakikatnya, sudah hampir tiga minggu berada di bumi UMS ini. Masih lagi tercari-cari cahaya yang hilang,. Mencari kata-kata yang sering menguatkan.. Mungkinkah ada salah yang di lakukan sehingga tidak dapat memaafkan?. Adakah ia hadir dari hati yang tulus menyayangi kerana Allah?? Akan Ku kembalikan semuanya kepada Allah,. Moga-moga kita akan bertemu lagi di bawah satu lembayung yang sama..

Dengan namaMu Ya Allah..kumulakan bingkisan kali ini.. insyaAllah,. Moga-moga ada kebaikan untuk kita bersama.

Mencari kebahagiaan..

Mungkin ada di antara kita yang mencari kebahagian dengan bersuka ria bersama teman-teman. Mungkin ada yang mencari kebahagiaan dengan menyendiri di lautan sepi. Mungkin juga ada yang mencari kebahagiaan dengan menyanyi-nyanyi tak ingat dunia. Terpulang kepada iman masing-masing.


Orang yang beriman akan mencari kebahagiaan dalam dirinya sendiri. Mereka memiliki pandangan dan kayu ukur kebahagiaan yang berbeza dari kebanyakkan manusia. Bahagia itu adalah kosa kata rohani,. Perkara yang abstrak,. Tidak dapat di lihat tapi boleh dirasa. Dengan itu, bahagia tidak dapat di cari dan di himpun dengan banyaknya harta,. Dengan penatnya menyanyi. Bahagia tidak dapat di rasai dengan hanya bersuka ria. Ianya hanya boleh di capai dengan cara yang rohani juga. Jalan yang tidak dapat di lihat juga,. Namun, ketika melalui jalan itu.. ada ketenangan bersamanya.. itulah hakikat kebahagiaan. Biarlah kita miskin harta tetapi kita kaya dengan kebahagiaan. Kerana harta sekali-kali tidak akan pernah memuaskan nafsu manusia, berapapun banyaknya ia.

Ibnu Munkadir berkata,. “diantara seberapa banyak kelazatan dunia itu tidak akan kekal dan tetap melainkan 3 perkara iaitu:

1. Ketenangan sewaktu bangun solat malam
2. Kebahagiaan sewaktu bertemu sahabat-sahabat seperjuangan
3. Kekhusyukan sewaktu solat berjemaah

Abu sulaiman pula berkata, “ahli bangun malam itu di waktu malamnya dalam merasai kebahagiaan daripada ahli suka ria dengan segala macam kesukariaannya”

Oleh itu..Marilah kita membawa hati kepada Tuhan. Kerana di sana letaknya puncak kebahagiaan. Hilangkan resah di dadamu dengan solat. Tunjangkan kepasrahanmu kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Dia tidak akan pernah melupakan kita.. InsyaAllah..




Doa kita;

“Ya Allah, terangilah hati kami dengan cahaya petunjukMu sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahariMu selama-lamanya dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih”

Monday, November 30, 2009

Sharing is caring..

Assalamualaikum sahabat2 yang dikasihi kerana Allah. semoga kita masih berada dalam 'roh' yang bersedia untuk berkorban seiring dengan pengorbanan nabi Allah Ibrahim 'alaihisalam. Macam da lewat nak ucapkan salam aidiladha untuk semua tapi bole la gak.. Salam Adha dari ana,saya,aku,olyn,lin,rose untuk semua..
Moga Allah terus kuatkan kita untuk terus berkorban dalam menegakkan agamaNya..

dalam kesempatan yang ada ni, ana nak share posting yang boleh di baca directly di
http://renungan2u.wordpress.com

kenapa ana nak share??

1. Sharing is CARING.. hehe

2. bagi ana, post ni mengingatkan ana pada perkara yang kita juangkan,.
~ Islah Nafsak Wad’u Ghairak ~

3. banyaknyer nak tau.. bacalah sendiri ya.

DAri Helaian risalah ikhwan.

Siapakah aku?

Aku adalah seorang insan yang mencari kebenaran… Lantas aku temuinya dalam Islam.

Aku adalah insan yang mencari jalan kehidupan .. Lantas aku temuinya dalam dakwah al-Ikhwan..

Ya setiap kali datang hari-hari baru .. akan ada saksi yang melihat amal-amal kita.. Hari baru ini juga merupakan peluang untuk kesekian kalinya yang dikurniakan oleh Allah kepada kita supaya kita berusahan menyelamatkan diri kita daripada neraka, dengan mengikuti ajaran Islam yang Agung.. Islam adalah Rahmat Allah yang menjadi petunjuk dan manhaj hidup yang lurus.

Langkah pertama di jalan ini ialah berusaha memperbetulkan diri kita.

Wahai saudaraku ahli al-Ikhwan !!

Medan amal kamu yang pertama adalah diri kamu. Sekiranya kamu berjaya memdidik diri kamu maka kamu akan lebih mampu mendidik orang lain. Sekiranya kamu gagal mendidik jiwa kamu maka lebih payahlah untuk kamu mendidik orang lain.

Cubalah berjuang mendidik jiwa kamu terlebih dahulu. Ingatlah dunia hari ini amat-amat menunggu-nunggu lahirnya satu generasi pemuda-pemudi yang cemerlang, memiliki jiwa yang suci bersih (daripada kotoran jahiliah) dan memiliki akhlak mulia yang utuh. Kamulah pemuda-pemudi itu . Pastikan mereka itu adalah kamu dan janganlah kamu berputus asa untuk terus berusaha.

Letakkan dihadapan mata kamu sabda rasulullah s.a.w.

( Pastikan diri kamu untuk melakukan enam perkara dan aku menjamin syurga untuk kamu: Apabila berkata-kata bercakaplah yang benar, tepatilah janji-janji kamu apabila berjanji, tunaikanlah segala amanah yang kamu terima, peliharalah kemaluan kamu daripada zina, tundukkanlah mata kamu daripada maksiat dan tahanlah tangan kamu daripada dosa..)

Kemudian lihatlah diri kamu apakah kamu melakukannya..

Wahai al-Ikhwan.

Dakwah kamu ini tertegak di atas tiga asas: Menegnal Allah, memperbaiki diri dan mengasihi semua makhluk.

Mengenal Allah dengan berzikir mengingati Allah dan bermuraqobah. Memperbaiki diri dengan melakukan ketaatan dan bermujahadah dan mengasihi manusia dengan memberi nasihat dan bersikap itsar.

Perkara pertama yang saya minta kamu lakukan dan yang saya akan muhasabah kamu atas asas fikrah Ikhwan ialah:

1. Kamu hendaklah memperuntukkan sedikit masa untuk membaca al-Quran dan menghafal sekurang-kurangnya satu ayat sehari.

2. Kamu hendaklah duduk melakukan muhasabah diri setiap hari sebelum tidur. Bentangkan semua aktiviti harian kamu pada diri sendiri sekiranya kamu melakukan kebaikan bersyukurlah kepada Allah dan sekiranya tidak hendaklah kamu berazam menyempurnakan apa yang tertinggal.
3. Kamu hendaklah memelihara solat 5 waktu dalam waktunya. Kamu hendaklah menunaikannya dengan sebaik-baiknya. Kamu hendaklah memahami hukum-hakamnya. Lakukanlah rukuk, sujud dan khusyuk dengan sempurna. Bacalah al-Quran di dalam solat dengan bertajwid dan bertadabbur . Janganlah kamu mengabaikan amalan sunat dan solat rawatib. Kamu hendaklah berusaha menunaikan solat berjamaah di masjid dan memastikan sentiasa menunaikan solat Subuh dalam waktunya…


وقرآن الفجر إن قرآن الفجر كان مشهودا }

من أنا

باحث عن الحقيقة … فوجدتها في الإسلام

وباحث عن السبيل … فوجدته في دعوة الإخوان

نعم … فكل يوم جديد على عملنا شهيد … وهو فرصة أخرى يمنحها الله سبحانه وتعالى لنا لكي ننقذ أنفسنا، باتباع رحمته المهداة ونهجه القويم … الإسلام العظيم … وأول خطوات ذلك العمل مع انفسنا ..

أيها الإخوان

ميدانكم الاول انفسكم ، فإذا انتصرت عليها كنت على غيرها أقدر ، وإذا أخفقتم فى جهادها كنت عا سواها أعجز . فجربوا الكفاح معها اولاً ، واذكروا أن الدنيا جميعا تترقب جيلا من الشباب الممتاز بالطهر الكامل والخلق القوى الفاضل ، فكونوا أنتم هذا الشباب ولا تيأسوا ، وضعوا نصب اعينكم قول الرسول الكريم صلى الله عليه وسلم (( اضمنوا لى ستا من انفسكم ، اضمن لكم الجنة اصدقوا اذا حدثتم ، وأوفوا اذا وعدتم ، وأدوا اذا أؤتمنتم ، واحفظوا فروجكم ، وغضوا ابصاركم ، وكفوا أيديكم ، ثم انظروا هل انتم كذلك )) ؟

أيها الاخــــوان

دعوتكم هذه تقوم على أصول ثلاثة :

معرفة الله ، وصلاح النفس ، ومحبة الخلق

والمعرفة إنما تكون بالتذكر والمراقبة

وصلاح النفس بالطاعة والمجاهدة ،

ومحبة الخلق بالنصيحة والايثار

وأن أول ما أطالبكم به عملياً ، وأحاسبكم عليه باسم الفكرة :

1 – أن يجعل كل منكم لنفسه حصة من القرآن الكريم يقرؤها وآية على الأقل يحفظها يومياً .

2 – وأن تحرصوا على جلسة المحاسبة قبل النوم ، يستعرض كل منكم فيها عمله اليومى بينه وبين نفسه ، فإن وجد خيراً فليحمد الله ، وإن وجد غير ذلك فليعزم على تدارك ما فات .

3 – وأن تحرصوا على هذه الصلوات الخمس فى أوقاتها ، وأن تحسنوا أداءها، وتفقهوا أحكامها، وتتموا ركوعها وسجودها وخشوعها، وتجيدوا وتتدبروا ما تقرءون من كتاب الله فيها، ولا تقصروا فى النوافل الرواتب، وأن تتحروا المسجد والجماعة ما استطعتم، وأن تحرصوا ما أمكنكم على صـــــلاة الصبــح فى وقتهـــــا { وقرآن الفجر إن قرآن الفجر كان مشهودا }

Sunday, November 22, 2009

Cintaku hanya untukMu


Hati = qalb yang perlu di pelihara


Maha Suci Allah yang telah memeliharaku sejak di rahim ibu,
Sentuhan kasih sayangMu...
melupakan rinduku kepadanya,
Begitulah alur yang telah Kau aturkan untukku,

Harapku hanya padaMu,
Pahit di awal,namun manis di kemudiannya,
tiada yang lebih berharga selain dapat berkenalan semula denganMu,
Alangkah bahagianya diriku..
dalam setiap denyut nadi..
Kau hadir sebagai pendamping setia,.

MengenaliMu,. lantas bercinta denganMu..
Satu anugerah yang perlu ku syukuri..
Kasih yang tidak pernah pudar,
Sayang yang tidak pernah luntur,
Tidak menjemu sehingga akulah yang jemu,
Tidak jauh melainkan aku yang menjauh,.

Kau beri cahaya kepada hatiku yang kian gelap,
Memberi sinar baru untuk terus bernafas dibumiMu,
Kau sentiasa mendorong dan penguat semangatku,
tika aku lemah Kau hadir tanpa dipinta,
Kau hadiahkan ku 'surat cinta' yang sarat dengan motivasi,
Semakinku baca helaian suratMu,
Hatiku semakin tenang,
Kakiku semakin kuat melangkah,
Jiwaku terasa terisi,
Perasaan dan fikiranku jauh dari kecelaruan...

Ya Allah...
Peganglah hatiku..
Izinkanku terus menjadi penolong agamaMu,
Ingin sekali aku berkongsi cahaya bersama saudara seakidahku,
Aku ingin bercerita tentang kasih sayang 'KITA'

Ya Allah...
Izinkanlah...
Kerana cintaku hanyalah untukMU....


yang mendamba kasihMu... ROSLINA..



Saturday, November 21, 2009

Rise up young Muslim!!


KITA boleh!!!!

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Pencipta langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Setinggi-tinggi kesyukuran ana panjatkan ke hadrat Illahi kerana telah memberi ana ruang dan peluang untuk menyertai satu program cuti-cuti yang di khaskan untuk remaja iaitu Rise Up Young Muslim bersama Dr Danial Zainal Abidin. Walaupun program ini untuk para remaja namun, ilmu Allah itu sesuai untuk semua peringkat umur insyaAllah. (maksudnya kami ni muda remaja lagi la kan? (^_~) ). insyaAllah dengan kesempatan yang ada, izinkan ana berkongsi serba sedikit ilmu yang ana perolehi hari ini.

FORMULA INDIVIDU CEMERLANG

Formula untuk menjadi individu yang cemerlang seperti yang di perkenalkan oleh Dr Danial ialah individu yang cemerlang dengan 7A

1. A= Autentik (soheh)
2. A= Akidah

3. A= Amal Soleh
4. A= Awlawiyat
5. A= Akhlak

6. A= Amanah

7. A= Asah


Rumusan penerangan cemerlang 7A adalah seperti dibawah;

Riwayat daripada Abu Hasan Al Mawardi menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang inginkan kebahagian di dunia, maka hendaklah ia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kebahagiaan di akhirat, maka hendaklah ia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya sekali, maka hendaklah ia berilmu”

Ilmu merupakan pintu gerbang kepada segala kebaikan. Diawal suruhan juga kita umat islam telah diseru untuk IQRA’ iaitu membaca kerana membaca merupakan sumber ilmu. Dengan ilmu lahirlah iman dan barulah datangnya semangat untuk beramal. Sumber motivasi kita tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran.

Oleh itu, cemerlang yang dikatakan oleh Dr ialah dengan menguasai dua ayat. Dimana ayat yang pertama ialah ayat-ayat Al-Quran dan kedua ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta.

AYAT dalam bahasa arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr; A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Al-Quran dan kedua ia bermaksud “sign” atau bukti dan tanda.


Penguasaan ayat-ayat Al-Quran adalah sangat penting untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Melalui Al-Quran manusia mengenali tujuan dan matlamat dilahirkan ke dunia. Dimana matlamat kita yang utama ialah untuk beribadah dan menjadi khalifah Allah. Seperti yang di jelaskan melalui firmanNya yang bermaksud:


“Aku tidak menciptakan jin manusia melainkan agar mereka berIBADAH kepadaKu” (51:56)

Dan..

“…Aku hendak menjadikan KHALIFAH dibumi… (2:30)

Walau sebesar pangkat kita didunia ini, ingatlah kita masih lagi HAMBA yang ditugaskan untuk beribadah dengan jawatan KHALIFAH.

MENGUASAI AYAT-AYAT AL-QURAN

Menguasai al-Quran bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang agar dia MAMPU MEMBACA AL-QURAN dengan baik. Berhubung dengan ini Allah berfirman;

“bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada al-kitab (al-Quran).. (Al-Ankabut:45)

Kemampuan membaca al-Quran dengan baik ini perlu disusuli dengan usaha untuk MEMAHAMInya secara yang betul. Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 82 yang bermaksud;

“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak didalamnya”

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata;

“Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarahkan mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”

Kefahaman yang betul pula perlu disusuli dengan PENGHAYATAN yang mantap. Hal ini Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud,

“dan mereka yang telah Kami berikan kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenrnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barangsiapa yang ingkar, mereka itulah orang-orang yang rugi”

Hanya selepas al-Quran di fahami dan di hayati sahaja umat islam akan meningkat sekali gus mencapai kecemerlangan. Inilah janji Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9;

“sesungguhnya Al-Quran itu memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal shalih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar”

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran ialah petunjuk yang akan membawa manusia kepada sesuatu yang aqwam. Dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qurtubi berkata,

“kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat”

justeru mereka yang membaca, memahami, menghayati serta menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan kecemerlangan sedang menanti mereka kerana kehidupan mereka disuluhi oleh formula yang paling benar, paling adil dan paling tepat
.

MENGUASAI AYAT-AYAT ALAM

Maksud AYAT yang kedua ialah dengan menguasai ayat-ayat alam yang terbentang luas.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar.” (Fussilat : 53)

Berdasarkan ayat ini, Allah menyeru kepada kita untuk mempelajari dan mengambil iktibar dengan setiap kejadian yang telah diciptakan. Sesungguhnya, tidak ada yang sia-sia dalam setiap ciptaan Allah.

Perhatikan sahaja bumi dan segala hamparannya. Di dalam al-Quran, Allah menyeru;

“24. Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. 25. Sesungguhnya kami benar-benar Telah mencurahkan air (dari langit), 26. Kemudian kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, 27. Lalu kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, 28. Anggur dan sayur-sayuran, 29. Zaitun dan kurma, 30. Kebun-kebun (yang) lebat, 31. Dan buah-buahan serta rumput-rumputan, 32. Untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.” (80:24-32)

Sudahkah kita memerhatikannya?? Dengan itu, Ilmu yang diperolehi daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah sekaligus meningkatkan pengabdian kepadaNya.

AYUH MENJADI GOLONGAN ULUL ALBAB

Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir. Dalam surah ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.

Untuk akhirnya,..

Begitulah serba sedikit pengisian yang boleh ana kongsikan. Sedikit peringatan untuk kita bersama;
Rasulullah SAW telah bersabda, sampaikanlah dariku walaupun satu ayat. Dan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-5, Ustaz Mustafa Masyhur juga ada menyebut, perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain. Oleh itu, ana menyeru sahabat2 sekalian, marilah kita muhasabah dan koreksi diri,. Sekali kita cuba rapat dengan Allah, seribu kali Allah hendak rapat dengan kita,.mari bersama menjadi insane yang cemerlang acuan Al-Quran. InsyaAllah. Waalahua’lam.

Monday, November 16, 2009

ubat Hati

Andai perjuangan ini mudah, pasti ramai menyertainya,
Andai perjuangan ini singkat, pasti ramai yang istiqamah,
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia, pasti ramai tertarik padanya,
Namun, hakikat perjuangan bukan begitu,.
Turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga..
Andai rebah, bangkitlah semula..
Andai terluka, ingatlah janjiNya..
Perjuangan itu pahit kerana SYURGA Allah itu terlalu manis..

Jalan lurus yang tiada bengkok padanya...

Ubat selalunya pahit,. Melainkan vitamin C untuk kanak-kanak,. Rasa manis tapi di akhir hisapan pun akan ada rasa pahitnya. Rawatan juga selalunya perit. Namun, untuk mendapatkan badan yang sihat, terpaksalah juga makan ubat dan melalui rawatan yang ditetapkan. Itulah jalan yang perlu dilalui untuk mengubati hati. Hati yang sakit perlu di ubati. Ianya perlukan ubat yang sangat mujarab supaya virus yang menjangkit tidak timbul semula atau kalau timbul pun mudah untuk disingkirkan. Disamping ubat, perlukan juga rawatan yang konsisten supaya tidak futur di pertengahan jalan. Persoalannya, bagaimana mengubati hati yang sakit? Ada terjual ka ubat2 itu di farmasi?

Ubat untuk mengubati hati.

Hati yang tidak disirami dengan air ilmu selama 40 hati akan menjadi keras. Sekali membuat maksiat, satu titik hitam akan tumbuh, 2 kali 2 titik hitam, 3 kali 3 titik., 4 5 6 7 kali buat maksiat maka hitam legamlah hati yang datangnya dengan suci bersih. Kalaulah hati itu boleh berkata-kata, mungkin dia akan minta tuannya membuatkan cermin mata untuk dia berjalan sebab matanya telah buta dek perihal si tuan yang tidak pandai menjaga dan merawatnya.

Hati itu adalah anugerah Allah yang sangat berharga. Ia adalah milik Allah yang perlu di jaga. Ia datang dari Allah dan dengan Allah sahajalah ada ubat untuk merawatnya. Allah berfirman:

“Hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenang”

Salah satu cara mengubati hati ialah dengan membaca Al-Quran kerana Al-Quran itu adalah petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.

“Kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (2:2)

Petunjuk=hidayah. Hidayah Allah kadang-kadang bersifat tanpa di duga. Kita perlukan hidayah seperti sibuta memerlukan tongkat. Tanpa hidayah kita tidak dapat melihat walaupun mata zahir tidak buta. Membaca, memahami, dan seterusnya mengamalkan apa yang di ajarkan di dalam al-Quran mampu melembutkan hati kita. Apa yang tidak ada dalam Al-Quran?

Apabila sedih, Allah pujuk kita,.


“dan janganlah kamu merasa lemah dan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi derajatnya jika kamu orang yang beriman” (3:139)

Apabila berputus asa, Allah menyeru,.


“wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya” (39:53)

Apabila berdukacita dan gembira, Allah mengingatkan,.


“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (Tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan Telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri” (57:22-23)

Apabila hilang semangat, Allah menyedarkan,.


“dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia” (10:107)

Semuanya ada di dalam Al-Quran. Cara-cara buat tesis ada, cara-cara mengoreng pisang pun ada. Segalanya ada. Apa yang tiada ialah usaha kita untuk mendalami Al-Quran. Al-Quran yang ada hanyalah sekadar penghias almari. Al-Quran yang ada hanyalah untuk menghalau hantu dan syaitan. Benarkah??? jawablah sendiri..

Selain itu, terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Ilmu adalah imam dan amal adalah makmumnya. Paksalah diri menghadiri majlis ilmu. Kadang-kadang keikhlasan itu akan lahir dari keterpaksaan. Majlis ilmu umpama taman syurga di dunia ini. Mendorong diri untuk ke majlis ilmu adalah susah diawalnya dan diakhirnya menjanjikan kemanisan yang hanya mampu di rasai oleh mereka yang beriman.

Namun, Usaha penyembuhan “sakit hati” perlu ada yang mendorongnya. Sebaiknya, carilah kawan yang boleh mengingtkan di kala lupa,sahabat yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa iaitu ingin sama-sama mencari cinta Allah.

Jalan mengubati hati tidak semudah teori. Ianya memerlukan mujahadah yang terlalu tinggi. Perjuangan itu pahit kerana Syurga itu terlalu manis. Waallahu’alam.

Doa kita:

"Ya Allah, rezekikanlah kami sekeping hati yang mudah tersentuh dan menangis apabila mengingati dan menyebut namaMu.."Amin...

Friday, November 13, 2009

merenung..melihat..dan berfikir.

Katakanlah : sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah (Al- An’am: 162-163)

Musim peperiksaan sudah sampai kepenghujungnya.. baru semalam sahabat food tech menamatkan paper terakhir mereka untuk sem ini. Tinggal kami lagi (food Sc) yang belum habes. Tak sabar nak jawab paper En. Rosni. Subjek yang best di kuliah dan lagi ‘seronok’ bila di dewan exam., apa lagi kalau bukan food toxicology. Segala benda pun dirasakan bertoksik. Minum air pun boleh sakit kalau tidak kena dengan caranya. Dan siapa boleh jamin makan sayur dia boleh sihat???

Apa itu toksikologi makanan?

Toksikologi makanan adalah sains yang berkaitan dengan tabii (nature), sumber dan pembentukan bahan toksik dalam makanan, kesan-kesan buruk bahan tersebut, manifestasi dan mekanisma kesan buruk bahan dan pengenalpastian had keselamatan bahan tersebut.

Menurut Paracelsus (1493-1541), “semua bahan adalah racun, tiada satu pun yang tidak beracun. Dos yang sesuai membezakan diantara racun dan penawar”. Maksudnya, semua bahan makanan adalah beracun kepada tubuh badan kita. Yang membezakan diantara racun dan penawar adalah berapa banyak yang kita ambil dalam diet seharian. Contohnya, kekacang baik untuk pertumbuhan otak tetapi jika diambil secara berlebihan boleh mendatangkan kesan toksin seperti kanser hati. Kobis, pembekal vitamin dan mineral pada tubuh tapi jika berlebihan boleh menyebabkan kanser juga. Kekerang, bagus untuk pertambahan darah,lebih –lebih lagi pada pengidap anemia tetapi keranglah paling banyak toksik, dari plumbum, mercuri, saxitoxin semua dia balut. Kesimpulannya, biarlah sederhana..

Berita baik untuk mereka yang tidak makan sayur..

Kebanyakkan sayur di Malaysia ditanam di tepi jalan untuk memudahkan pengangkutan tetapi sedarkah kita bahawa sayuran yang ditanam berhampiran jalan raya atau dalam kawasan perindustrian mengandungi aras plumbum yang tinggi. Plumbum yang berlebihan dalam badan dapat mengganggu enzim-enzim sel darah merah seperti asid delta-aminoelevuinick dehidratase. Namun, Allah itu MAha adil, setiap racun pasti ada penawarnya. Allah datangkan makanan yang tinggi kalsium seperi susu o kalsi-yum supaya dapat menyekat penyerapan plumbum dalam badan. Telur dan kekacang yang mengandungi kumpulan sulfhydryl amino asid juga membantu dengan melekat pada plumbum dan seterusnya membersihkan lebihan plumbum dalam badan.

Lihatlah betapa sayangnya Allah pada kita, sebenarnya dengan hanya melihat, mengkaji dan memahami ilmu pemakanan sahaja sudah dapat mendekatkan kita pada pencipta kita dan makanan itu sendiri.

Melihat sambil berfikir tentang makanan..

Allah berfirman:
“Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya, maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirnya)” ‘Abasa: 24

Allah Taala telah memerintahkan kita supaya berfikir tentang semua perkara. Dalam ayat diatas, Allah memerintahkan kita supaya melihat dan berfikir tentang makanan kita kerana ia adalah sebahagian daripada ciptaanNya. Dengan hanya melihat pada makanan, kita akan mengetahui banyak sifat Allah seperti Dialah yang MAha Pemberi Rezeki, Yang MAha Mengetahui, Yang Amat Mendalam PengetahuanNya, Yang Maha Bijaksana, Yang MAha Mengasihani dan sebagainya.

Allah adalah segala-galanya untuk kita. BersamaNya kita akan berasa sentiasa cukup dan selamat. Islam itu mudah, terima dan laksanakan segala perintah dan tinggalkan laranganNya. Barangsiapa menghadapkan wajah dan hatinya dalam semua persoalan hidup kepada Allah, maka ia adalah seorang muslim. Begitulah sepertimana yang di firmankan:

Katakanlah : sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah (Al- An’am: 162-163)

Penerimaan dan penyerahan diri sepenuhnya terhadap hukumNya adalah syarat untuk menjadi Muslim yang utuh. Waallahu’alam.

Thursday, November 5, 2009

Redha itu lebih baik...

Assalamualaikum WBT.. salam sayang kerana Allah untuk semua. moga2 kita semua berada di bawah lembayung kasih sayang dan rahmatNya.. sesungguhnya hanya Dia yang layak memegang jiwa2 kita.. samada untuk terus dalam keadaan beriman atau sebaliknya..

Macam da lama xmenjenguk blog ni.. sunyi menyepi tanpa khabar berita.. mohon maaf pada semua,. mungkin 'kesibukkan' sebagai seorang pelajar dan khalifah menjadi penghalang untuk terus bergiat aktif mengupdate.. atau penghalang sebenarnya adalah ruang masa yang sangat terhad untuk mengonlinekan diri menjadikan ana semakin jauh dengan medan dakwah secara maya ini. wahhh.. berbunga-bunga pulak ayat2nya..

anyway.. tak perlulah kot nak ceritakan apa yang sibuk sangat tu sampai xboleh nak update blog sendiri. semua tu adalah ALASAN yang rapuh bagi seorang yang merasakan dirinya sebagai da'ie.

hari ini, ketika ini, waktu ini, hati ini tergerak untuk mencoretkan sesuatu untuk manfaat kita bersama. rasa macam tertarik untuk berkongsi cerita dengan kamu semua,.

cerita ini adalah berdasarkan sebuah buku yang pernah ana baca, berkenaan seorang tokoh ulama yang sangat terkenal dengan ketaqwaannya di zaman generasi Tabi'in iaitu Fudhail bin Iyadh. satu ketika, saat beliau berada di Masjidil Haram, dia di datangi seseorang yang menangis. Fudhail bertanya, " kenapa engkau menangis?" orang itu menjawab, "aku kehilangan beberapa dinar dan aku tahu ternyata dinarku dicuri." Fudhail mengatakan, "apakah engkau menangis hanya kerana dinar?" lalu orang itu menjawab, "tidak, aku menangis kerana aku tahu bahawa kelak aku akan berada di hadapan Allah dengan pencuri itu. Aku kasihan dengan pencuri itu, itulah yang menyebabkan aku menangis..."

MasyaAllah, bertama kali baca, ana kagum dengan orang tersebut.. sangat berlapang dada dan sentiasa memberi maaf. sedangkan dirinya sendiri teraniaya. cuba kita yang berada ditempat orang tersebut,. apakah jawapan yang kita nak berikan?? mungkin,.. "aku takkan redha dia makan duit aku".. atau "aku tidak akan halalkan dia guna duit aku" atau mungkin "biarlah,. mungkin dia mencuri dalam keadaan terpaksa, aku halalkan duit tu kerana duit tu adalah hak dia yang disalurkan dari aku, cuma aku yang tidak segera menyampaikannya... atau..jawab lah sendiri. jawapannya ada pada diri anda!.

sahabat2 ku sekalian..

Dalam perjalanan kita menuju Illahi, kita memerlukan bekalan,. seperti seorang musafir yang akan keluar mengembara. walaupun sikit, kita perlukannya. Bekalan yang kita perlukan ialah sikap lapang dada, nafas yang panjang dan mudah memaafkan. supaya kita tidak peduli dengan suasana getir yang bakal kita lalui disepanjang perjalanan,. supaya kita tidak mudah untuk berpatah balik kepada kehidupan jahiliyyah kita yang dulu. seperti RAsulullah saw yang tidak merasa tertekan dengan penghinaan atau cacian orang-orang sekitarnya, dalam menjalani misi kenabiannya.

Jalan yang kita pilih bukanlah yang yang menjanjikan bunga-bunga indah tapi jalan yang menuntut pengorbanan. kerana kita dapat merasakan bahawa pengorbanan itu adalah sumber kebahagiaan kita. semakin banyak yang kita korbankan semakin tenang hati kita. Ujian-ujian yang kita terima sepanjang perjalanan adalah batu loncatan untuk kita terus melangkah jauh.. lihat sahaja seperti air, biarpun di empang perjalanannya,namun, masih mampu memberi manfaat untuk manusia sepekan.. begitulah jiwa yang perlu kita didik.. sentiasa sabar dan redha dengan ujian2 yang mendatang.. tidak mudah melatah dengan kejian dan cacian manusia.. semakin banyak tohmahan, jiwa kita semakin kuat,. semakin bersemangat untuk memperbaiki diri dan orang lain.. mengorak langkah tanpa perlu menoleh..

sahabatku..

Dalam menempuh liku2 hidup sebagai seorang pelajar, anak, hamba, adik, da'ie dan khalifah.. kita perlukan kekuatan itu,. bersabar itu perlu tetapi redha adalah lebih baik.. berlapang dada dan memberi maaflah andai mahu merasakan kebahagiaan... insyaAllah.. Inna Allaha ma'na.. sesungguhnya Allah bersama kita.. Waallahu'alam..

Jauh tapi dekat...
Olyn..

Tuesday, September 1, 2009

Ramadhanku LUAR BIASA!!

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Syukur yang tidak terhingga di ucapkan di atas nikmat pemberianNya. Dengan rahmat kasihNya, Dia telah memilih kita untuk merasai nikmat ramadhan tahun ini. Sungguh,bulan inilah yang di tunggu-tunggu setiap tahun. Maka rugilah bagi mereka yang melalui kehidupan mereka sama seperti 11 bulan sebelumnya. Dan beruntunglah bagi mereka yang berusaha mensucikan diri demi menagih cinta dan redha dari tuhanNya.

Ramadhan.. Bulan yang di dalamnya di turunkan Al quran iaitu sebagai petunjuk bagi orang yang bertaqwa (2:2). Bagi mereka yang beriman,natijah di akhir ramadhan adalah untuk mendapat gelaran TAQWA di sisi Allah. Hanya taqwa yang menjadi kayu ukur diantara kita dengan manusia lainnya. Biar kaya manapun kita,kita hanyalah hamba. Biar cantik manapun kita,kita tetap hamba. Biar bijak manapun kita,kita masih lagi hamba kepada tuhan yang Maha Bijaksana. Hamba..sungguh hina gelaran itu,namun Allah upgradekan nilai hamba itu dgn taqwa kepadaNYA.

Berkata umar bin abdul aziz,

"bukanlah taqwa itu melakukan solat di waktu malam,puasa pada waktu siang dan menggabungkan kedua-duanya,tetapi taqwa ialah melaksanakan apa yang difardhukan Allah dan meninggalkn apa yang diharamkanNya. Jika disertai amal,maka hal itu adalah kebaikan"

Balasan bagi orang-orang yang bertaqwa.

1. Diberikan furqan dan diampuni dosanya (8:29)

“Hai orang-orang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, kami akan memberikan kepadamu Furqaan. dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. dan Allah mempunyai karunia yang besar”.

Furqan : petunjuk yang dapat membedakan antara yang Haq dan yang batil, dapat juga diartikan disini sebagai pertolongan.

2. Diberikan rahmat dan cahaya hidayah dari Allah(57:28)

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan dia mengampuni kamu. dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.


3. Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka(65-2-3)

“Apabila mereka Telah mendekati akhir iddahnya, Maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu Karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” (65:2)
“Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu". (65:3)
.


4. Dimudahkan oleh Allah segala urusan(65:4)

“dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya”

5. Ditutupkan kesalahan-kesalahan dan dilipat gandakan pahala baginya oleh Allah(65:5)

“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya”

6. Mendapat barakah dari Allah (7:96).

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.


Maka siapa yang lebih menunaikan janjinya selain Allah?

Oleh itu sahabatku sekalian,marilah kita bersama mengupgradekan ilmu kita daripada teori kepada praktikal. Kita tahu ramadhan bulan berkah namun,tidak ramai yang mencari keberkahan itu. Kita tahu ramadhan bulan mengumpul amal dan mereduce dosa,namun,masih ramai di antara kita yang mengumpul maksiat dan mensayonarakan nikmat Allah. Upgradekan tahu itu kepada sedar supaya kita dapat menjadikan ramadhan kita kali ini ramadhan yang luar biasa. Ya,. Ramadhanku luar biasa!!. Moga-moga di akhir ramadhan nanti kita beroleh taqwa itu dan bila keluar dari ramadhan kali ini kita kembali semula kepada fitrah kita iaitu suci dan murni. Mungkin kita tidak dapat kembali semula menjadi kain putih bersih,namun biarlah kain itu menjadi kain batik yang indah di pandang mata. Coraknya suci berseri.. Waallahu'alam.